Sebagai salah satu sayap didalam UMNO, Pemuda UMNO seharusnya berani beraksi sebagai satu kumpulan pendesak (pressure group) kepada badan induk agar perjuangan UMNO akan sentiasa berada dilandasan yang betul. Pemuda UMNO harus berani memperjuangkan hak-hak orang Melayu saperti yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan dan menegur mana-mana dasar terutamanya dasar-dasar Kerajaan yang dilihat saperti tidak menyebelahi orang-orang Melayu.
Untuk membolehkan Pemuda UMNO memainkan peranan sebagai Kumpulan Pendesak yang berkesan dan efektif, sebaiknya Ketua Pemuda UMNO atau mana-mana anggota Pemuda, janganlah menerima atau memegang sebarang jawatan didalam Kabinet kerana ia bertentangan dengan teori pengasingan kuasa, iaitu salah satu tunggak penting didalam sistem demokrasi. Namun ini tidaklah bermakna anggota-anggota Pemuda UMNO tidak boleh dilantik mengganggotai Kerajaan atau pun Kabinet. Sekiranya terdapat mana-mana anggota Pemuda yang berkaliber tinggi dan layak diangkat mengganggotai Kerajaan/Kabinet, mereka boleh menerima perlantikan itu dan tidak perlulah mereka menunggu sehingga berumur 40 tahun tetapi mereka mestilah meninggalkan sayap Pemuda dan masuk ke dalam badan induk (mainstream politics).
Sebagai Kumpulan Pendesak, Pemuda UMNO, dalam anologi perundangan, boleh di ibaratkan sebagai kanak-kanak dibawah umur 10 tahun 'who can do no wrong'. Dengan itu mereka dibolehkan untuk 'memekik dan melolong', bersilat dan menghunus keris serta menunjuk perasaan. Tetapi sekiranya mereka berjawatan Menteri yang mempunyai 'collective responsibility' tentulah perbuatan sedemikian tidak sesuai terutama sekali jika sesuatu tunjuk perasaan itu diadakan dihadapan mana-mana kedutaan asing kerana ia akan dilihat sebagai satu tindakan resmi dari pihak Kerajaan. Tindakan sedemikian juga tidak sesuai bagi seseorang yang berjawatan Menteri jika dilakukan bagi tujuan membantah mana-mana dasar yang menyebelahi sesuatu kaum mahupun untuk kaumnya sendiri. Sebagai seorang Menteri, gaya pemikiran seseorang itu semestinya lah telah melepasi 'garisan kaum' dan hendaklah berkelakuan sebagai 'statesman' yang dilihat adil dan saksama oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum. Sekiranya tidak, kaum-kaum lain akan memandang serong terhadap kementerian yang diterajuinya termasuklah dasar-dasar yang dibuat oleh kementerian itu.
Sebagai kanak-kanak yang berumur dibawah 10 tahun, yang belum mempunyai jasa kepada negara, sebaiknya pemuda-pemuda UMNO janganlah terlalu ghairah untuk memakai gelaran 'Dato'. Memanglah gelaran 'Dato' itu glamour dan mungkin boleh memudahkan 'bisnes', namun pemuda-pemuda UMNO harus membuat pilihan. Sekiranya mereka berminat dalam bisnes, tumpukanlah segala usaha dan tenaga dalam bidang bisnes agar menjadi seorang ahli perniagaan Melayu yang benar-benar berjaya dan disegani. Maka tinggalkan lah dunia politik. You cannot have the cake and eat it. Kalau dulu Tun Ghaffar Baba boleh sampai ke peringkat Timbalan Perdana Menteri dengan hanya bergelar 'Encik Ghaffar', saya tidak nampak hujah-hujah lain yang menyakinkan.
Tambahan pula bila sudah bergelar 'Dato', yang semestinya datang dengan kereta Mercedes, sudah tentunya keadaan itu akan 'menakutkan' pemuda-pemuda kampung yang lazimnya hanya bermotosikal atau berkereta Kancil sahaja.
Sekiranya ini berlaku ia akan menjauhkan lagi Pemuda UMNO dari gulungan muda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment