Tuesday, November 25, 2008

Gambar Pun Boleh Bercakap

Di hujung minggu yang lepas saya berada di Kota Baru kerana menghadiri Persidangan Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia yang telah diresmikan oleh Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Selepas selesai persidangan tersebut saya dan seorang lagi rakan telah mengambil peluang untuk bersiar-siar di pekan Kota Baru. Apa yang anehnya, tidak satu pun saya ternampak gambar Menteri Besar Kelantan yang di paparkan dimana-mana.

Keadaan ini agak berbeza jika dibandingkan dengan negeri saya dimana gambar Menteri Besarnya terpampang dimerata-rata tempat dan disepanjang tahun. Bermula dengan ucapan Selamat Tahun Baru, diikuti dengan ucapan Selamat Tahun Baru Cina, ucapan Selamat Hari Raya, ucapan Selamat Hari Deepavali dan diakhiri dengan ucapan Selamat Hari Krismas. Dalam pada itu gambar Menteri Besar juga dipaparkan apabila mengucapkan Selamat Datang kepada menteri-menteri pusat saperti kedatangan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta menteri-menteri kabinet. Pendek kata, gambar Menteri Besar sentiasa terpampang diserata tempat dan jika masih ada rakyat Negeri Sembilan atau pelancong asing yang tidak kenal paras rupa Menteri Besar itu, mereka memanglah terdiri dari gulungan orang-orang yang jahil.

Sebenarnya pemasangan banner-banner tersebut bukan saja merupakan satu keuntungan kepada industri-industri kecil yang mungkin boleh menjana pendapatan melebihi RM 1 juta setahun tetapi ia adalah satu strategi pemerintahan yang menjaminkan pulangan yang tidak ternilai oleh wang ringgit. Malah strategi ini telah lama digunakan secara meluas dinegeri-negeri Islam di Timur Tengah saperti di Iraq, Jordan dan Syria.

Di Syria, semasa zaman pemerintahan Presiden Assad, gambar presiden mereka boleh dikatakan terdapat di serata tempat bermula dari pintu masuk sehinggalah keseluruh ceruk kampung. Tidak ada se inci pun tanah dimana rakyat Syria boleh terlepas dari pandangan Presiden Assad sehinggakan rakyat Syria percaya bahawa gambar Presiden Assad boleh mendengar apa yang mereka perbualkan. Malah kepercayaan mereka itu semakin menebal apabila ada dikalangan mereka yang mengutuk atau menghina Presiden mereka akan terus ditangkap keesokannya oleh pihak berkuasa dan kadangkala termasuk seluruh ahli keluarga mereka.

Sungguh pun sebenarnya Presiden Assad memperkasakan dirinya dengan cara menubuhkan sebuah badan Perkhidmatan Rahsia yang dianggotai oleh 7 juta orang, iaitu setengah dari keseluruhan rakyat Syria, yang bermakna tiap-tiap seorang rakyat Syria akan diawasi oleh seorang anggota perkhidmatan rahsia, rakyat Syria masih mahu mempercayai bahawa sebenarnya gambar-gambar presiden mereka itu boleh mendengar dan bukannya Presiden mereka mendapatkan maklumat dari anggota-anggota perkhidmatan rahsia. Akibat dari kepercayaan mereka itu, kita boleh melihat sendiri bagaimana cara ketika rakyat Syria berjalan kaki. Mereka akan tunduk ketika berjalan dan tidak berani menatap wajah Presiden mereka kerana takut disalah ertikan oleh Presiden Assad yang boleh membawa bencana bukan saja kepada mereka malah kepada kaum keluarga mereka.

Keadaan ini lah yang berlaku semasa Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Rembau yang berlangsung pada 9hb November tempuhari. Semua perwakilan yang diberikan Senarai Biru telah menggunakan senarai itu didalam memilih AJK Bahagian dan pemilihan G7. Dan adalah tidak menghairankan bahawa semua nama-nama yang terdapat didalam Senarai Biru itu telah memenangi pemilihan tersebut.

Saya percaya jika strategi ini terlepas kepada Tuan Guru Nik Aziz, Kerajaan PAS sudah tentu akan terus memerintah Kelantan.