UMNO perlu meminda Perlembagaannya jika UMNO hendak terus relevan dan dilihat sebagai sebuah parti yang boleh menterjemahkan sokongan dan kehendak rakyat dan bukan hanya merupakan sebuah parti yang memperjuangkan nasib orang-orang UMNO sahaja.
Pertama sekali, sistem kuota didalam pemilihan UMNO mesti dihapuskan. Saya rasa perkara ini tidak perlu dihuraikan kerana sudah ramai yang berbuih mulut mempersoalkan perkara ini. Andainya sistem kuota ini tidak juga dihapuskan semasa Perhimpunan Agung akan datang yang dijangkakan pada bulan Mac 2009, saya tidak tahu lah apa lagi yang harus kita buat.
Keduanya, UMNO perlu menghormati dan matuhi Perlembagaannya sendiri. Oleh kerana Perlembagaan UMNO telah menetapkan agar satu pemilihan diadakan bagi setiap 3 tahun, pemilihan itu mestilah dijalankan pada masa yang ditetapkan itu dan hendaknya jangan lah ia ditangguh atas alasan memberi laluan kepada Pilihanraya Umum saperti yang dilakukan pada tahun 2003 dan 2007. Alasan yang diberikan bahawa pemilihan UMNO terpaksa ditangguhkan kerana tidak mahu melihat pemimpin-pemimpin UMNO yang kalah didalam pemilihan yang lazimnya akan merajuk, lantas tidak akan memberikan sokongan padu kepada calun UMNO semasa Pilihanraya Umum kelak tidak boleh diterima sama sekali dan tidak masuk akal. Jika kita menerima alasan ini, ia bermakna kita mengakui bahawa orang-orang Melayu masih tidak faham akan makna dan semangat sistem demokrasi yang kita amalkan selama ini. Apakah ini yang hendak kita pertontonkan kepada dunia dan semua lapisan rakyat Malaysia?
Sebenarnya, pemilihan didalam UMNO adalah lebih sempurna jika ia diadakan sebelum sesuatu Pilihanraya Umum diadakan. Pemilihan itu akan memberi mandat baru kepada pemimpin-pemimpin UMNO disemua peringkat. Akar umbi akan dapat memilih calun-calun yang mereka hendak ketengahkan semasa Pilihanraya Umum kelak dan menolak mana-mana pemimpin yang dilihat sudah lapuk. Jika pemilihan yang dijadualkan oleh Perlembagaan itu ditangguhkan, lazimnya semua calun-calun yang bakal bertanding didalam Pilihanraya Umum adalah calun-calun yang ditentukan dari atas dan suara akar umbi langsong tidak diambil kira. Akar umbi didalam parti mungkin boleh menerima jika ia dilakukan buat pertama kalinya saperti dalam tahun 2004 tetapi jika ia terus dilakukan nescaya ia akan membawa padah. Dan ini lah yang berlaku semasa Pilihanraya Umum 2008. Di Rembau, misalnya, Khairy, menantu Pak Lah, hampir tewas sungguh pun Rembau selama ini dianggap sebagai satu kawasan yang paling selamat bagi UMNO.
Yang jelasnya, sekiranya pemilihan UMNO hanya diadakan selepas Pilihanraya Umum, pemilihan itu sebenarnya tiada memberi sebarang makna. Ia hanya lah merupakan satu 'academic exercise' sahaja. Mereka-mereka yang sudah bergelar YB, yang diterjunkan dari atas, lazimnya akan menang dengan mudah sebab mereka sudah mempunyai 'gula'gula'.
Oleh kerana saya orang Rembau, saya suka mengambil Rembau sebagai contoh. Di Rembau, misalnya, apabila Bahagian itu diujudkan pada tahun 2003, Pak Lah telah meletakkan Mohamad Hassan sebagai Ketua Penaja bahagian itu. Selepas Pilihanraya Umum 2004, Pak Lah pun melantik Mohamad Hassan, yang masih selaku Ketua Penaja UMNO Bahagian Rembau, sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. Kemudian dari itu baru lah pemilihan UMNO diadakan. Dalam keadaan sebegitu, sudah tentu lah orang-orang Rembau tiada mempunyai pilihan dan TERPAKSA menerima kehadiran Mohamad Hassan sebagai Ketua Bahagian mereka meskipun mereka tidak kenal siapa itu Mohamad Hassan. Ia adalah satu 'fait accompli' yang dipaksakan dari atas dan kesannya sudah tentu lah tidak membawa kebaikan kepada perpaduan didalam parti yang mana akhirnya, Negeri Sembilan hampir tumpas kepada pembangkang dalam Pilihanraya Umum yang lepas.
Akhir sekali saya juga ingin mencadangkan agar UMNO melihat semula jumlah perwakilan bahagian (atau lazimnya dipanggil G7) yang di pilih untuk hadir di Perhimpunan Agung. Satu sistem 'demerit' perlu diujudkan. Jumlah perwakilan dari bahagian-bahagian mestilah mencerminkan keupayaan sebenar UMNO dibahagian masing-masing. Mana-mana Bahagian UMNO yang menguasai kawasan Parlimen dan DUN mereka, mereka mestilah diberikan jumlah perwakilan yang lebih dari bahagian-bahagian dimana UMNO tidak mempunyai tempat. Bahagian Kuala Pilah, misalnya, dimana kesemua kerusi DUN dan Parlimen ditandingi dan dimenangi oleh calun-calun dari UMNO, bahagian itu mestilah diberikan jumlah perwakilan yang lebih besar jika dibandingkan dengan jumlah perwakilan dari Bahagian Bukit Bintang, yang mana kita semua tahu sehingga hari kiamat pun UMNO Bahagian Buit Bintang tidak akan dapat meletakkan calun mereka di kawasan itu. Begitu juga dengan bahagian-bahagian dimana UMNO mempunyai tempat dan bertanding tetapi kalah ditangan pembangkang. Jumlah perwakilan mereka mestilah dikurangkan jika dibandingkan dengan Bahagian Kuala Pilah yang menang kesemuanya. Sekiranya ini dapat dilakukan, UMNO akan sentiasa mempunyai barisan kepimpinan dari kalangan mereka-mereka yang datangnya dari negeri-negeri dimana UMNO masih diterima oleh rakyat dan bukannya dari mereka-mereka yang hanya pandai 'berkokok' tetapi kampungnya telah tergadai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment