Friday, October 10, 2008

Timb Presiden UMNO: Muhamad Mohamad Taib Berpeluang?

TS Muhyiddin Yassin telah pun mengumumkan bahawa beliau akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden. Dengan pengumuman itu, setakat ini telah ada empat orang calun yang mengintai-ngintai untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden UMNO itu, tempat yang sekali gus akan terpahat dikerusi Timbalan Perdana Menteri. Sekiranya Hishamudin tidak menghunuskan kerisnya dahulu, mungkin Hisham adalah merupakan gandingan terbaik buat DS Najib. Dari segi usia dan 'upbringing', beliau sememangnya sesuai dan sebagai orang Johor, ia memberikan kelebihan kepada beliau. UMNO masih mempunyai tempat disudut hati rakyat Johor. Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur.

Kalau mengikut ukuran Dato Shahril Samad(DSS), hanya mereka-mereka yang berumur dibawah 55 tahun sahaja yang layak bertanding. Saya amat bersetuju dengan had umur yang disarankan oleh DSS itu. Namun had umur semata tidak boleh dijadikan sandaran. Ia mestilah di komplemen dengan faktor-faktor lain saperti pengalaman yang luas dalam pentadbiran negara tertumanya dalam soal-soal ekonomi, kewangan, hubungan antarabangsa, kebajikan dan sosial. Jika faktor-faktor ini diambil kira, ini bermakna Nur Jazlan mungkin belum lagi sesuai untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden itu sungguh pun bapanya, TS Mohamad Rahmat (TSMR), yang juga merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO, amat yakin dengan kebolehan anakya itu. Mungkin disini kesilapan nya bukan terletak pada Nur Jazlan tetapi pada TSMR sendiri kerana beliau terlalu lama menduduki takhta UMNO di Pulai. Keadaan ini juga boleh dibuat pengajaran bagi semua pemimpin UMNO sekiranya UMNO benar-benar ingin diremajakan.

Sokongan yang diterima oleh Nur Jazlan terutamanya dari Johor, boleh juga dilihat dari satu sudut lain. Nampaknya ada orang-orang Johor yang tidak mahu melihat TS Muhyiddin menduduki kerusi nombor dua negara itu. Sebagaimana kita maklum, TS Muhyiddin adalah merupakan orang yang bertanggungjawab dalam mempelopori pelan peralihan kuasa dari Pak Lah kepada DS Najib. Tekanan yang diberikan oleh Muhyiddin itu, sudah tentunya tidak diterima baik oleh orang-orang Pak Lah, terutama sekali mereka-mereka yang bergantung nasib kepada Pak Lah. Dan mereka-mereka ini lah yang akan memberikan sokongan kepada Nur Jazlan, bukan kerana mereka sukakan Nur Jazlan tetapi disebabkan mereka 'benci' kepada Muhyiddin kerana tindakan Muhyiddin telah diliihat sebagai menganggu gugat kedudukan mereka. Oleh kerana Johor mempunyai banyak bahagian, mungkin keupayaan Muhyiddin untuk mendapatkan pencalunan yang secukupnya dari Johor akan kesampaian juga.

Jika dilihat dari sudut kerjaya dan pengalaman, Muhyiddin adalah merupakan calun yang paling layak bagi jawatan Timbalan Presiden. Namun usia tidak menyebelahi beliau. Jika beliau terus menerus menampakkan sikap berani beliau didalam menegur pemimpin, beliau mungkin akan diilihat sebagai 'a man in a hurry' dan persepsi sebegini tidak akan disenangi oleh penyokong-penyokong DS Najib.

Selain Muhyiddin Yassin, TS Muhamad Taib juga adalah merupakan 'orang lama' didalam barisan Naib Presiden, sungguh pun pada musim lalu beliau telah terkeluar dari senarai ekoran dari perletakan jawatan beliau selaku Menteri Besar Selangor. Namun kedudukannya sebagai Ketua Penerangan UMNO telah memberikan beliau sedikit kelebihan terutamanya didalam hal-hal parti dan sekali gus membolehkan beliau mendekati para perwakilan. Selaku orang kuat kepada Pak Lah, beliau juga boleh meraih undi dari penyokong-penyokong setia Pak Lah. Tetapi selain dari soal parti dan Pak Lah, tiada faktor-faktor lain yang menyebelahi beliau, baik dari segi usia mahupun dari segi pengalaman. Beliau juga adalah merupakan seorang senator dan bukan pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Adalah agak janggal jika Malaysia mempunyai seorang Timbalan Perdana Menteri yang bertaraf Senator!!!

DS Ali Rustam, sungguh pun merupakan Naib Presiden bagi musim ini, beliau sebenarya adalah 'orang baru' jika dibandingkan dengan Muhyiddin dan TS Muhamad Taib. Ali Rustam juga tidak mempunyai pengalaman didalam pentadbiran negara. Beliau hanya pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri sebelum dinobatkan sebagai Ketua Menteri Melaka. Kemenangan Ali Rustam juga akan mengakibatkan negara terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk membawa beliau dari Melaka ke Putrajaya. Satu pilihanraya kecil Parlimen terpaksa diadakan dan satu pilihanraya kecil DUN juga terpaksa diadakan untuk membawa pulang Datuk Wira Abu Seman. Untuk tidak menyusahkan rakyat, Ali Rustam seharusnya mempunyai wawasan sendiri. Sekiranya beliau melihat dirinya sebagai pemain diperingkat negara, beliau tidak seharusnya menerima pelawaan untuk bermain diperingkat kampung dari awal-awal lagi.

Ringkasnya, saya jangkakan Muhyiddin adalah pilihan terbaik untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden UMNO. Hanya usia yang tidak menyebelahi beliau namun hidup mati kita adalah ketentuan Illahi dan bukannya ditentukan oleh para perwakilan UMNO!!!

Namun kehadiran Ali Rustam nampaknya akan menjejaskan sedikit sebanyak undi kepunyaan Muhyiddin kerana penyokong-penyokong DS Najib terpaksa membahagikan undi mereka diantara kedua-dua tokoh ini. Jika dilihat dari sudut ini, mungkin hanya undi TS Muhamad Taib yang tidak diganggu gugat yang datangnya dari penyokong-penyokong setia Pak Lah.

Apakah ini bermakna TS Muhamad Taib bakal diangkat sebagai Timbalan Presiden UMNO!!!

No comments: