Semalam Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi telah memperkenalkan Rang Undang-Undang Veteran 2011 di Parlimen. Setelah meneliti rang undang-undang tersebut yang mengandungi 24 seksyen didalam lima bahagian, saya tertanya-tanya apakah motif dan objektif yang ingin dicapai oleh Akta tersebut kerana yang jelasnya Akta tersebut tidak mempunyai 'preamble' seperti yang lazimnya terdapat dimana-mana akta lain. Kalau lah hanya untuk mendapatkan dana dari pihak Kerajaan maka diperlukan akta, saya kira ini adalah suatu perkara yang 'kelakar' kerana dana Kerajaan bukan sahaja dipinta oleh persatuan-persatuan bekas tentera tetapi juga oleh persatuan-persatuan kebajikan yang lain seperti persatuan penjaja, persatuan pemandu teksi, persatuan ibu tunggal dan berbagai lagi persatuan yang lain. Apakah ini bermakna Kerajaan akan menubuhkan Majlis Ibu Tunggal Kebangsaan pula selepas ini?
Dengan itu persoalan timbul, mengapa perlunya akta tersebut diujudkan. Mengapakah anggota-angota tentera yang semasa berkhidmat dikawal dibawah akta dan selepas bersara pun masih dikawal dibawah akta? Mengapa pesara-pesara Kerajaan yang lain seperti pesara polis atau pesara pegawai-pegawai Kerajaan yang lain tidak diletakkan dibawah akta?
Persoalan juga timbul, apakah akan terjadi kepada bekas-bekas anggota tentera yang enggan untuk mendaftarkan diri dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM? Apakah mereka tidak layak untuk mendapatkan sebarang bantuan dari pihak Kerajaan? Apakah pihak Kerajaan telah lupa akan makna dan takrif "deferred salary" yang diberikan oleh pihak Kerajaan semasa mereka-mereka berkhidmat dahulu?
Yang jelasnya, apakah akta tersebut, terutamanya Seksyen 17, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Negara yang memberikan hak kebebasan untuk berpersatuan seperti yang digariskan dibawah Artikel 10?
Dengan yang demikian adalah lebih baik jika pihak kerajaan mengadakan sessi penerangan kepada gulungan sasar terlebih dahulu sebelum rang undang-undang tersebut dibahas dan diluluskan di Parlimen. Perbuatan untuk menyorok-yorokkan rang undang-undang tersebut dari pengetahuan gulungan sasar dan tiba-tiba diusulkan di Parlimen, boleh disalahertikan terutamanya tentang motif akta tersebut.
Apa lagi jika ianya bermotifkan politik.
I am back
4 years ago