Tuesday, November 17, 2009

Kota Siputeh: PAS Tiada Alasan Untuk Kalah

PRK Kota Siputeh yang dijangka akan berlangsung tidak lama lagi mungkin boleh memberi peluang kepada PAS untuk menebus maruah mereka setelah di malukan di Bagan Pinang. Seandainya PAS masih gagal untuk merebut kerusi di halaman mereka sendiri, ia adalah merupakan satu petanda yang tidak baik untuk parti itu secara khususnya dan untuk PR secara amnya dan ia pasti akan menyukarkan perjalanan PR ke Putrajaya menjelang PRU Ke-13 kelak. Oleh itu PAS tiada mempunyai banyak pilihan di Kota Siputeh dan PAS juga tiada mempunyai alasan untuk kalah.

Sebenarnya PAS boleh menjadi sebuah parti yang kuat dan di segani oleh kawan dan lawan sekiranya parti itu tahu di mana tempat yang mereka boleh 'bermain' dan di mana tempat-tempat yang bukan untuk mereka, meskipun 100% penduduk di kawasan itu terdiri daripada orang-orang Melayu. Sekiranya itu boleh dilakukan oleh PAS, usaha Pakatan Rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Pusat bukan lah merupakan suatu perkara yang mustahil.

Yang pentingnya tiap-tiap parti didalam PR termasuk PAS mestilah bersedia untuk melihat apa yang di tinggalkan oleh sejarah dan dari situ masing-masing akan dapat melihat dimana letaknya kekuatan dan kelemahan masing-masing. Yang nyatanya, tidak ada mana-mana satu parti pun di dalam PR, termasuk PAS, yang mampu untuk menawan bahkan 51% dari kesemua 191 kerusi parlimen yang dipertandingkan secara bersendirian. Dengan itu mereka perlulah bergantung diantara satu sama lain dan untuk tujuan itu sikap tamak haloba berebut kerusi sesama sendiri mestilah di hapuskan sama sekali.

Negara kita, sungguh pun sudah merdeka sekian lama, sebenarnya masih tidak banyak yang berubah. Negeri-negeri di Pantai Timur, misalnya, masih jauh ketinggalan di dalam berbagai aspek jika dibandingkan dengan negeri-negeri di Pantai Barat. Begitu juga jika di bandingkan di antara negeri-negeri di Malaysia Timur dengan negeri-negeri di Malaysia Barat. Malah tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa negeri-negeri di utara Semenanjung juga jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri di selatan Semenanjung. Saya percaya faktor-faktor itu adalah merupakan satu faktor asas yang boleh di gunapakai di dalam kita merangka strategi politik.

Dengan itu, PAS, misalnya, mestilah menumpukan perhatian mereka di negeri-negeri yang dahulunya dikenali sebagai Unfederated Malay States sahaja, iaitu Kelantan, Trengganu, Kedah dan Perlis dan membiarkan PKR mengembangkan sayap mereka di negeri-negeri yang dahulunya dikenali sebagai Federated Malay States, sementara DAP menumpukan fokus mereka di kawasan-kawasan bandar.

Sekiranya setiap parti di dalam PR dapat menerima hakikat ini, perjalanan mereka ke Putrajaya pasti akan kesampaian juga dan mala petaka saperti di Bagan Pinang pasti tidak akan berulang.

Hidup Rakyat!!!

Saturday, November 14, 2009

Jambatan Runtuh: Apa Kesudahannya?

Syabas di ucapkan kepada Kerajaan yang telah mengumumkan keputusan badan siasatan berkaitan dengan jambatan runtuh di Kampar tempuhari yang mengorbankan 3 pelajar. Menurut badan siasatan tersebut, yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran sendiri, kemalangan tersebut adalah berpunca dari kelemahan struktur jambatan tersebut.

Namun yang anehnya, dari 22 pelajar yang dilapurkan terlibat didalam kejadian itu, mengapa kesemua (3 orang) pelajar yang terkorban tersebut terdiri dari anak-anak kaum India?

Saya berharap badan siasatan tersebut telah menjalankan penyiasatan secara terperinci dan berpuashati bahawa kematian 3 pelajar India itu adalah sebenarnya secara kebetulan sahaja dan bukannya disebabkan oleh pilih kasih atau diskriminasi yang berlaku ketika usaha-usaha menyelamat di lakukan pada malam kejadian itu.

Saya juga berharap tindakan undang-undang, kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian, akan diambil terhadap kontraktor yang bertanggungjawab di dalam pembinaan jambatan tersebut.

Hendaknya Kerajaan perlu lah serius di dalam menjaga kepercayaan dan kebajikan rakyat dan bukan sekadar 'hangat-hangat tahi ayam' saja.

Salam.

Friday, November 13, 2009

Undang-Undang Pemakaian Topi Keledar Bukan Untuk Semua

Hari ini The Star menyiarkan gambar TS Muhyiddin Yassin yang sanggup membonceng motorsikal semata-mata ingin meninjau nasib rakyat yang dilanda banjir. Agaknya dengan menyiarkan gambar tersebut, The Star ingin mengambarkan betapa prihatinnya pemimpin BN terhadap nasib rakyatnya.

Malangnya TS Muhyiddin Yassin telah memberikan satu mesej yang tidak baik kepada penunggang-penunggang motorsikal. Beliau telah di lihat tidak memakai topi keledar!!!

Atau apakah pemakaian topi keledar hanya di kuatkuasakan secara berpilih-pilih!

Malaysia boleh.

Friday, November 6, 2009

JPJ Sudah Tidak Ada Kerja

Agaknya JPJ pun sudah tidak ada kerja atau pun tidak ada idea bagaimana hendak bekerja sebab itu lah Kerajaan mencadangkan agar kenderaan 15 tahun keatas di bawa ke JPJ untuk di periksa setiap tahun!!!

Pagi tadi dalam perjalanan balik dari Mahkamah Tampin, saya telah di arahkan berhenti oleh anggota-anggota JPJ yang membuat sekatan jalanraya berhampiran dengan Air Panas, Pedas semata-mata kerana mereka hendak memeriksa lesen memandu saya.

Saya pun tidak tahu apakah tujuan sebenar mereka memberhentikan saya, tetapi kalau lah tujuan mereka semata-mata untuk memeriksa lesen memandu saya, saya rasa pihak berkuasa JPJ perlu memikirkan semula strategi dan pendekatan mereka terhadap tugas-tugas mereka agar wang rakyat yang digunakan bagi membayar gaji mereka, meskipun tidak sebanyak mana, tidak dibazirkan begitu saja.

Pihak Berkuasa JPJ sepatutnya melatih anggota-anggota bawahan mereka bagaimana hendak mengenali sasaran-sasaran mereka dan bukannya menahan pengguna-pengguna jalanraya sesuka hati mereka sehinggakan jalanraya menjadi sesak. Mereka mestilah bertindak saperti orang yang bersekolah. Disamping itu, JPJ juga mestilah melatih anggota-anggota bawahan mereka bagaimana hendak memilih kawasan atau jalan yang sesuai bagi tujuan pemeriksaan lesen memandu itu.

Yang pastinya, kawasan Air Panas Pedas bukanlah kawasan atau jalan yang strategik bagi tujuan pemeriksaan lesen memandu kerana sekiranya seseorang itu tidak mempunyai lesen memandu, saperti ramai di antara orang-orang Rembau yang tidak berlesen, sudah pastinya mereka akan menggunakan Lebuh Raya PLUS untuk ke Seremban. Oleh itu perbuatan JPJ mengadakan sekatan jalanraya di jalan tersebut semata-mata untuk memeriksa lesen memandu adalah merupakan satu kerja bodoh dan ianya tidak langsung mencabar minda anggota-anggota JPJ yang malangnya majoritinya terdiri daripada orang-orang Melayu.

Saya sedih.

Monday, November 2, 2009

Dasar Pemeriksaan Kenderaan 15 Tahun Keatas Perlu Di Kaji Semula

Di dalam New Strait Times hari ini ramai nampaknya yang menentang keputusan Kerajaan berkaitan dengan isu kenderaan 15 tahun keatas yang dikehendaki menjalankan pemeriksaan tahunan mulai tahun hadapan.

Apa yang saya difahamkan keputusan itu adalah disebabkan oleh dua faktor: pertama, untuk meningkatkan penjualan kereta nasional; dan kedua, untuk mengurangkan kadar kemalangan jalanraya.

Persoalan nya: Apakah benar langkah-langkah tersebut dapat meningkatkan kadar jualan kenderaan tempatan dan sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalanraya?

Saya rasa tidak.

Secara logiknya (kalau bukan dari segi teknikal pun) kereta-kereta saperti Mercedes, BMW atau Volvo adalah lebih tahan lama jika dibandingkan dengan kereta-kereta saperti Proton Wira atau Waja atau pun Kancil mahupun Persona. Dengan itu tidak heranlah sekiranya kereta sedemikian yang berusia lebih 15 tahun masih banyak terdapat di jalan-jalanraya. Secara logiknya juga (tolak la isu-isu saperti kemampuan), mereka-mereka yang telah berbelas-belas tahun memandu dan memiliki kereta Mercedes, sekiranya mereka perlu menukar kereta sekali pun, sudah pastinya mereka akan menukar kereta mereka kepada Mercedes atau BMW atau Volvo juga. Adalah agak janggal sekiranya Kerajaan berfikiran bahawa dengan peraturan baru ini, mereka-mereka ini akan menukar kereta mereka kepada Kancil, atau Waja atau pun Persona! Dengan itu ia bermakna sasaran Kerajaan untuk meningkatkan kadar penjualan kereta nasional kepada mereka melalui dasar baru ini sudah tentunya akan terbantut.

Yang jelasnya, sekiranya Kerajaan benar-benar berhasrat untuk meningkatkan jualan kereta nasional, fokus seharusnya diberikan kepada pengguna-pengguna kereta nasional itu sendiri dan dengan itu peraturan 15 tahun tersebut mungkin boleh diturunkan lagi mengikut jangka hayat sesebuah kereta nasional. Bagi Proton Wira atau Waja atau Persona mungkin boleh diturunkan kepada 8 tahun dan kepada Kancil, mungkin boleh diturunkan kepada 3 atau 4 tahun. Dengan cara yang demikian, saya percaya saban tahun penjualan kereta nasional akan melonjak lebih tinggi dan tidak perlu lah mereka yang memiliki Kancil untuk menunggu selama 15 tahun untuk menukar kereta mereka.

Dengan cara sedemikian saya rasa penjualan kereta nasional akan lebih laris saperti goreng pisang panas.

Namun yang sebaiknya Kerajaan seharusnya menjalankan kajian serta meneliti statistik kemalangan jalanraya sebelum sesuatu keputusan itu dibuat. Apakah kereta nasional terutamanya Kancil itu cukup selamat?

Saya rasa semua orang pun tahu, lazimnya kemalangan maut akan menimpa mereka-mereka yang memandu atau menumpang kereta Kancil. Dengan itu Kerajaan seharusnya mengkaji dasar permotoran negara (NAP) dengan terperinci dan saya percaya sekiranya kajian itu dilakukan, Kerajaan sudah pasti akan membuat keputusan untuk memberhentikan pengeluaran kereta-kereta Kancil dan kereta-kereta yang sejenis dengannya.

Kereta-kereta Kancil ini sebenarnya telah membunuh ramai rakyat-rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah. Apakah Kerajaan mementingkan keuntungan ekonomi lebih dari nyawa mereka-mereka yang berpendapatan rendah?

Selain dari itu, kereta-kereta Kancil ini juga telah menyebabkan kesesakan di jalan-jalanraya. Lorong-lorong yang mempunyai tiga lane saperti dibandaraya Kuala Lumpur akan menjadi lima. Buatlah apa pun, jalan bertingkat atau terowong bawah tanah; jika pengeluaran kereta Kancil diteruskan juga, kesesakan di jalanraya terutamanya di pusat-pusat bandar, tidak akan ada penyudahnya.

Juga menyedihkan, pengeluaran kereta-kereta Kancil ini telah membuatkan ramai mereka-mereka yang berpendapatan rendah saperti peniaga-peniaga pasar malam menjadi muflis. Oleh kerana niat Kerajaan untuk meningkatkan penjualan kereta-kerta tersebut, mereka-mereka yang tidak layak pun telah diberikan pinjaman. Namun selepas beberapa bulan, kereta mereka dirampas dan dilelong. Statistiknya dapat kita lihat didalam akhbar-akhbar saperti The Star atau The New Strait Times (mungkin tidak disiarkan oleh Berita Harian atau Mingguan Malaysia kerana takut di terbaca oleh orang-orang Melayu), dimana beratus-ratus kereta Kancil yang dilelong setiap hari. Mungkin Kerajaan merasa bangga kerana penjualan kereta Kancil meningkat tetapi apakah Kerajaan sedar bahawa dari 1000 kereta yang dijual pada setiap bulan, 700 daripadanya akan dilelong. Keadaan ini jika direnungkan baik-baik amatlah memilukan. Elok-elok mereka anak beranak (peniaga-peniaga kecil terutamanya) duduk diatas kerusi sambil menonton TV, apabila kereta mereka dirampas, mereka terpaksa duduk diatas tikar mengkuang kerana kerusi meja mereka juga turut dirampas.

Sebenarnya, kadar kemalangan maut juga mungkin dapat dikurangkan jika Kerajaan benar-benar meneliti dasar penggunaan motosikal. Jika kita meneliti statistik yang dikeluarkan oleh PDRM disetiap musim perayaan, kita akan dapati bahawa kebanyakan kemalangan maut adalah melibatkan motosikal yang berlaku di jalan-jalan Persekutuan atau di Lebuh-Lebuh Raya. Dengan itu, sekiranya Kerajaan benar-benar serius didalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan maut, Kerajaan seharusnya mengambil satu tindakan berani; iaitu memberhentikan pengeluaran dan penjualan motosikal sama sekali. Namun langkah itu mungkin akan menyusahkan rakyat yang sememangnya sudah susah. Oleh itu saya mencadangkan agar penggunaan motosikal di jalan-jalan persekutuan dan di lebuh-lebuh raya diharamkan sama sekali. Penggunaan nya mestilah dihadkan, iaitu di kampung-kampung sahaja dan di dalam bandar-bandar sahaja kerana pada kelaziman nya kemalangan yang berlaku di dalam kampung atau di dalam bandar bukanlah merupakan kemalangan maut. Mereka-mereka yang perlu ke bandar atau sebaliknya, mestilah menggunakan pengangkutan awam.

Saya rasa dengan cara itu, banyak nyawa yang akan terselamat terutamanya nyawa-nyawa orang yang berpendapatan rendah yang terdiri daripada 80% rakyat Malaysia.

Dan dasar pemerikaan kenderaan 15 tahun keatas itu akan hanya menyusahkan rakyat yang sememangnya sudah susah.

Salam.