Tuesday, October 13, 2009

Kesan Ekonomi Ekoran Pindaan Perlembagaan UMNO

Persidangan UMNO yang akan berlangsung esok akan tertumpu kepada pindaan perlembagaan. Menurut pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO, pemindaan tersebut adalah perlu kerana ia akan dapat mengawal budaya politik wang yang kini berleluasa didalam UMNO terutama sekali didalam musim pemilihan.

Namun saya yakin pemindaan tersebut tidak akan membawa sebarang makna, malah tidak keterlaluan jika saya katakan ia akan membawa segala bentuk rasuah ke darjat yang lebih tinggi.

Nadi UMNO sebenarnya, hanyalah terletak kepada 191 orang sahaja, iaitu, Ketua-Ketua Bahagian dan kesemua mereka ini adalah jutawan. Maka sebab itulah mereka boleh memegang jawatan tersebut sampai berkurun sehingga anak bujang mereka membesar dan bersedia untuk mengambil alih dan sekiranya mereka tidak mempunyai anak bujang, jawatan itu akan diserahkan kepada menantu. Ia bagaikan pesaka saperti yang diamalkan didalam sistem feudal.

Sebagai seorang jutawan, ketua-ketua bahagian, tidak mempunyai masaalah untuk memberi makan kepada ahli-ahli UMNO kerana mereka tidak perlu memberi makan kepada kesemua ahli. Apa yang perlu mereka lakukan hanya lah memberi makan kepada ketua-ketua cawangan sahaja. Itu pun tidak perlu semua; 70% daripada mereka sudah memadai. Ini bermakna sekiranya Bahagian tersebut mempunyai 100 cawangan, sebagai Ketua Bahagian, beliau hanya perlu menjaga 70 orang sahaja meskipun Bahagian tersebut mungkin mempunyai seramai 2000-3000 orang.

Sekiranya dipandang dari satu sudut, keadaan ini mungkin lambat laun akan membuatkan seseorang Ketua Bahagian itu menjadi bankrap. Namun itu adalah satu pandangan yang salah. Didalam senario baru ini, untuk mengekalkan jawatan, ketua-ketua bahagian tidak lagi boleh beroperasi secara solo. Mereka perlu mendapat bantuan dari mereka-mereka yang berhajat untuk menduduki kerusi Majlis Tertinggi; yang mana lazimnya kerusi itu akan menjaminkan jawatan menteri atau timbalan menteri yang mempunyai kuasa didalam pemberian kontrak didalam kementerian masing-masing. Dan yang memegang jawatan Menteri Besar pula mempunyai kuasa untuk memberi pasir, tanah, batu atau apa saja yang boleh dijual!

Dan inilah yang saya katakan dari awal tadi bahawa pemindaan perlembagaan UMNO sebenarnya tidak akan membawa sebarang makna; malah akan membawa segala bentuk rasuah kedarjat yang lebih tinggi.

Kalau dulu, mereka-mereka yang berhajat untuk menduduki kerusi Majlis Tertinggi hanya perlu merasuah 7 orang (yang lazimnya disebut sebagai G7) dari setiap Bahagian yang berlegar diperkarangan PWTC tiga tahun sekali, kini mereka perlu mempunyai projek yang bertaraf 'hakmilik kekal' yang perlu diagihkan kepada ketua-ketua bahagian.

Dengan itu saya amat yakin bahawa pemindaan perlembagaan tersebut akan melahirkan beberapa empayar besar yang bakal dikepalai oleh ketua-ketua bahagian UMNO dan sekali gus akan mengurangkan pengantungan kepada Tan Sri Ah Chong atau Tan Sri Ah Kau yang diamalkan selama ini.

Dan kesan ekonominya akan dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

I hope I am wrong!!!

Saturday, October 10, 2009

Isa Menang, UMNO Dalam Dilema

Pengundian di Bagan Pinang masih berjalan rancak. Namun maklumat yang saya terima, Isa telah pun memenangi undi pos yang berlangsung semalam. Dengan itu kemenangan hampir pasti akan menyebelahi Isa Samad.

Dari satu sudut yang lain, kemenangan Isa Samad sudah pastinya membawa padah kepada UMNO/BN. Pertama, UMNO sudah tentu akan menghadapi masaalah untuk menyakinkan rakyat bahawa UMNO itu sendiri adalah serius didalam memerangi rasuah. Kesannya akan dapat dilihat didalam PRU ke 13 dimana saya yakin rakyat akan menolak UMNO/BN. Kedua, penampilan semula Isa Samad sebagai calun di Bagan Pinang sudah pastinya akan membuatkan orang-orang UMNO sendiri merasa meluat. Apakah Isa Samad yang telah menerajui UMNO Telok Kemang berkurun-kurun lamanya tidak dapat melahirkan seorang pemimpin muda di Telok Kemang? Atau apakah itu sememangnya strategi-strategi yang dirancang oleh pemimpin-pemimpin UMNO untuk terus berkuasa? Saya rasa lambat laun, orang-orang UMNO akan sedar bahawa kehadiran mereka didalam UMNO adalah bagaikan 'menunda berak hanyut'; kalau tak ditunda pun berak pasti hanyut juga!!!

Last but not least, kemenangan Isa Samad sudah tentu akan membawa padah kepada UMNO Negeri Sembilan. Perpecahan UMNO Negeri Sembilan yang berlaku ketika ini sudah pasti akan terus meruncing dan saya tidak terkejut sekiranya satu pilihanraya kecil akan berlaku di DUN Rantau pula.

Salam.

Wednesday, October 7, 2009

Zahid Hamidi Mesti Tunaikan Janji

Semalam saya telah bertemu dengan Menteri Pertahanan, YB Dato Zahid Hamidi bagi menyatakan rasa kesal saya terhadap ucapan beliau semasa meresmikan persidangan tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Bahagian Negeri Sembilan yang diadakan pada 04 Okt 2009 di Dewan Orang Ramai Taman Tuanku Jaafar, Seremban.



Semasa berucap dimajlis tersebut, Zahid telah melakukan dua kesilapan besar dimana ucapan beliau bukan sahaja telah mengguris hati bekas-bekas pegawai kanan tentera tetapi juga bekas-bekas tentera dari kaum Cina dan India.



Yang nyatanya Zahid nampaknya seakan-akan menghidapi penyakit 'inferiority complex' dan

penyakit itu mungkin memerlukan masa yang agak lama untuk disembuhkan. Disamping itu Zahid juga perlu sentiasa mengamalkan konsep 1Malaysia dan mengurangkan semangat perkauman yang kelihatan begitu tebal didalam dirinya kerana kami didalam Angkatan Tentera tidak pernah dilatih sedemikian.



Namun, mujurlah didalam pertemuan itu meskipun Zahid yang bertegang urat untuk menegakkan benang basahnya, akhirnya telah bersetuju untuk meminta maaf diatas kesilapannya itu dan juga bersetuju untuk memperbetulkan keadaan itu didalam ucapannya yang akan datang. Dengan itu saya benar-benar berharap agar Zahid akan dengan ikhlasnya menunaikan janji beliau itu. Sekiranya tidak, mungkin saya terpaksa memanggil sidang media untuk memaksa beliau berbuat demikian.



Akhir kata saya juga berharap agar Zahid dengan segera dapat menghayati budaya ketenteraan agar pandai memilih topik yang sesuai dengan sesuatu forum dan bukan mengikut sesedap rasa sahaja. Jika itu dapat dilakukan oleh Zahid, saya percaya Zahid akan disayangi dan disegani oleh semua lapisan pangkat didalam Angkatan Tentera dan pesara saperti yang pernah di rasai oleh DS Najib.



Salam.

Saturday, September 5, 2009

Pilihanraya Kecil Bagan Pinang: Pertarungan Sengit antara Isa Samad dengan Mohamad Hassan

Pilhanraya kecil DUN Bagan Pinang yang bakal diadakan dalam sedikit masa lagi sudah tentu akan menjadi satu pilihanraya yang terhebat jika dibandingkan dengan pilihanraya-pilihanraya kecil yang lain yang telah diadakan sebelum daripada ini kerana keputusan pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang ini akan menentukan untung nasib dan masa depan Kerajaan UMNO/BN di Negeri Sembilan. Seandainya UMNO/BN tewas di Bagan Pinang, ia bermakna Kerajaan UMNO/BN yang memerintah Negeri Sembilan mungkin akan 'tutup kedai' sebelum menjelangnya PRU Ke-13.

Dengan itu tidak hairanlah mengapa pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO/BN mengumumkan bahawa UMNO/BN akan mempertahankan kerusi tersebut habis-habisan, malah sebelum sempat Allahyarham Azman Mohd Nor dikebumikan.

Yang nyatanya, pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang ini bukan sahaja merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh Pakatan Rakyat tetapi ia juga merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh orang-orang UMNO sendiri yang telah bosan dan meluat dengan karenah Menteri Besar Negeri Sembilan serta adik beradik beliau. Dan kekalahan UMNO/BN didalam pilihanraya kecil ini sudah pastinya akan menjanjikan mereka dengan seorang Menteri Besar yang baru.

Namun Mohamad Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan, satu-satunya orang yang berani menyuruh TS Muhyiddin meletak jawatan dizaman Pak Lah dahulu, nampaknya bukanlah calang-calang orang yang boleh diperbodohkan oleh orang-orang UMNO Negeri Sembilan. Meskipun orang-orang UMNO diperingkat Majlis Tertinggi telah menolak kehadirannya, orang-orang UMNO di Negeri Sembilan nampaknya tiada mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian disebabkan oleh faktor kemiskinan. Rata-rata orang-orang UMNO Negeri Sembilan masih mengharapkan 'sesuap nasi' dari Menteri Besar mereka kerana mereka tiada mempunyai punca pendapatan lain selain dari 'meminta' dari Menteri Besar mereka. Malah budaya ini telah diwarisi sejak dari zaman Isa Samad lagi.

Menyedari hakikat sebenar dan karenah orang-orang UMNO Negeri Sembilan, pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang ini mungkin dilihat oleh Mohamad Hassan sebagai satu landasan terbaik untuk beliau memperkuatkan pengaruh politiknya di Negeri Sembilan, maka sebab itulah beliau menyerahkan soal pemilihan calun kepada Isa Samad, Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, agar kekalahan yang bakal diperolehi nanti boleh diletakkan diatas bahu Isa Samad yang sekali gus sudah pastinya akan melenyapkan karier politik Isa Samad.

Dengan itu jelaslah bahwa pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang ini bukanlah merupakan pertarungan diantara Pakatan Rakyat dengan UMNO/BN tetapi sebenarnya ia lebih merupakan pertarungan diantara Isa Samad dengan Mohamad Hassan dan keputusannya pasti menarik.

Rakyat pastinya akan berpakat dan menolak kedua-dua mereka!!!

Sama-sama lah kita tunggu.

Monday, August 31, 2009

BN v PR: Apa Bezanya?

Semalam akhbar-akhbar utama melapurkan bahawa Najib tidak akan mencampuri urusan dalaman MCA berikutan dengan pemecatan Chua Soi Lek.

Persoalannya: Apakah Najib enggan masuk campur atau Najib tidak boleh masuk campur? Sebagai Pengerusi BN, Najib seharusnya masuk campur kerana masaalah MCA adalah juga masaalah BN. Jika tidak, buat apa beliau terima jawatan Pengerusi itu?

Dengan itu adalah amat jelas, sebenarnya BN dan PR adalah sama. BN tidak boleh masuk campur urusan dalaman parti-parti kompenen yang lain. Begitu juga dengan PR. Dengan yang demikian, pemimpin-pemimpin BN janganlah asyik mempersendakan Pakatan Rakyat.

Ia bagaikan meludah ke langit ...

KPI: Apa Pentingnya?

Perlantikan Idris Jala jelas menunujukkan kegagalan Koh Tsu Koon dalam menterjemahkan KPI saperti yang dibayangkan Najib. Sebenarnya bukanlah salah Tsu Koon sangat. Ia adalah kesalahan Najib kerana Najib seharusnya tahu Tsu Koon sememangnya tiada pengalaman dalam soal KPI. KPI sebenarnya digunapakai dengan meluas dalam dunia korporat dan syarikat-syarikat swasta dalam mengukur performance seseorang dan lazimnya dikaitkan dengan pemberian bonus dan kenaikan pangkat.

Dengan itu adalah amat jelas bahawa perlantikan Tsu Koon kejawatan itu bukanlah disebabkan oleh kepakarannya tetapi disebabkan untuk mengisi kuota atas dasar konsensus yang diamalkan oleh Kerajaan UMNO/BN selama ini dan juga untuk menutup mulut Parti Gerakan yang agak lantang mengkritik UMNO selepas mereka di halau dari Pulau Pinang. Dalam ertikata lain, nampaknya perbuatan Kerajaan UMNO/BN itu tidak langsung mencerminkan sifat 1 Malaysia yang dilaungkan oleh Najib dalam slogan pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan. Perlantikan Tsu Koon sebagai Menteri yang bertanggungjawab keatas KPI hanyalah merupakan satu pembaziran wang rakyat dalam membayar gaji serta faedah-faedah lain yang dinikmati oleh Tsu Koon sebagai seorang Menteri.

Namun perlantikan Idris Jala juga nampaknya tidak begitu tepat. Jika pencapaian yang diutamakan dan rakyat didahulukan, saya rasa Tony Fernandez adalah lebih layak bagi mengisi jawatan itu. Tony telah berjaya membawa Air Asia keserata dunia tanpa menjual satu pun bangunan-bangunan milik Air Asia.

Dengan itu adalah diharapkan agar Kerajaan UMNO/BN akan lebih peka lagi dalam membuat dasar dan keputusan agar tidak menjadi bagaikan indah khabar dari rupa yang akhirnya membebankan rakyat. Wang rakyat hendaklah digunakan bagi kepentingan rakyat dan KPI itu bukanlah merupakan satu keperluan asas rakyat dan memerlukan dua orang Menteri untuk menjaganya. Saya tidak nampak apa perlunya ada KPI dalam perkhidmatan Kerajaan jika bonus masih diberikan kepada semua tidak kira sama ada mereka perform atau tidak, atau kenaikan pangkat masih berdasarkan kepada seniority, atau pecalunan sebagai wakil rakyat dan Parlimen masih berdasarkan kepada faktor 'kenality'.

Fikir-fikirkan lah ...

Friday, June 19, 2009

Kerajaan Perpaduan: PAS Jangan lah Terlalu Ghairah

Kenyataan TS Muhyiddin Yasssin semalam benar-benar menunjukkan bahawa UMNO telah tidak sabar lagi untuk untuk duduk semeja dengan PAS. Dengan itu bolehlah di rumuskan bahawa UMNO kini sudah menentukan agendanya serta habuan-habuan yang bakal di perolehi dari perbincangan tersebut.



Namun PAS perlulah memikirkan idea untuk mengujudkan kerajaan perpaduan tersebut dengan lebih teliti. Apakah menafaat yang bakal di terima oleh PAS jika kerajaan perpaduan itu menjadi kenyataan? Apakah PAS hanya berpuas hati jika Ustaz Hadi di lantik sebagai Timb Perdana Menteri Kedua? Apakah kesannya pula terhadap masyarakat Malaysia sekiranya parti pemerintah dikuasai oleh orang-orang Melayu dan parti pembangkang dikuasai oleh orang-orang bukan Melayu? Apakah kesannya terhadap kepercayaan yang mula hendak dibina diantara kaum di negara ini? Apakah semua ini akan membawa kepada kebaikan ummah Malaysia keseluruhannya atau membawa kepada kehancuran kepada sistem yang telah dibina sekian lama? Apakah Pas benar-benar yakin kerajaan perpaduan tersebut boleh merapatkan saf antara orang-orang Melayu? Tidak kah Pas menyedari bahawa saf orang-orang UMNO sendiri tidak dapat di rapatkan oleh UMNO?



Sebagai contoh, cubalah kita lihat, apabila TDM melepaskan jawatan, kemanakah perginya orang-orang kanan TDM? Selepas DS Najib mengambilalih, kemana pula perginya orang-orang kuat Pak Lah? KJ meskipun memenangi pemilihan Ketua Pemuda UMNO telah tidak diberikan apa-apa jawatan di dalam kabinet sedangkan Mukhriz, anak TDM yang kalah di beri tempat! Apakah maknanya semua ini? Mengapa Zulhasnan yang menang didalam pemilihan Majlis Tertinggi di gugurkan dari kabinet? Dan siapa pula Raja Nong Chik? Bagaimana pula dengan Mohamad Hasan yang tewas dan tidak dilantik menganggotai MT sedangkan kesemua MB lain yang tewas di lantik? Apakah pentingnya Abd Aziz Shiekh Fazdil dari Mohamad Hasan sehinggakan beliau di beri tempat?



Yang nyatanya UMNO perlu mengujudkan perpaduan dikalangan mereka dahulu. Jika rumah mereka sudah dibaiki, barang-barang antik lama saperti hasad dengki sudah di humbankan, baru lah mereka boleh bercerita tentang perpaduan ummah. Dengan itu PAS janganlah terlalu ghairah untuk memasuki perangkap sendiri. PAS harus sedar, kemenangan besar yang di perolehi oleh mereka dalam pilihanraya yang lepas sebenarnya bukanlah kerana rakyat telah memberikan sokongan padu kepada perjuangan PAS. Kemenangan itu sebenarnya adalah berdasarkan kepada undi protes; orang-orang UMNO yang tidak berpuas hati kerana calun-calun mereka tidak disenaraikan. Itu saja. Sebagai contoh, cuba kita lihat keputusan piliharaya di Parlimen Rembau. KJ hanya berjaya memenangi kerusi tersebut dengan hanya 6000 majoriti undi sedangkan kawasan Parlimen Rembau adalah kawasan kuat UMNO. Sesiapa saja yang diletakkan di kerusi tersebut akan senang-senang mendapat majoriti melebihi 15,000. Itu yang berlaku pada pilihanraya ke-11. Sekiranyanya UMNO tidak percaya cubalah letakkan calun lain di Perlimen Rembau selain KJ pada PRU ke-13! Dan PAS mesti faham ini.



Semasa UMNO memerintah sekian lama, semasa UMNO/BN kuat, mengapa persoalan tentang perpaduan ummah tidak pernah terlintas di pemikiran pemimpin-pemimpin mereka? Mengapa setelah UMNO/BN gagal untuk meraih undi orang-orang bukan Melayu dan PAS pula di lihat berjaya memikat hati orang-orang bukan Melayu, baru UMNO hendak menghulurkan tangan mereka?



Apakah keadaan sekarang yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan benar-benar sebegitu teruk? Saya rasa tidak. Di zaman ini kita tidak pernah terdengar isu sembahyang dua imam saperti dahulu. Tidak ada isu pulau memulaukan majlis perkahwinan misalnya. Tidak ada isu siapa yang boleh masuk syorga atau siapa yang tidak. Tetapi nampaknya TS Muhyiddin pula yang telah memulakan isu tersebut.


PAS juga mestilah faham. Politics is about power. It is an art of possible.