Friday, June 19, 2009

Kerajaan Perpaduan: PAS Jangan lah Terlalu Ghairah

Kenyataan TS Muhyiddin Yasssin semalam benar-benar menunjukkan bahawa UMNO telah tidak sabar lagi untuk untuk duduk semeja dengan PAS. Dengan itu bolehlah di rumuskan bahawa UMNO kini sudah menentukan agendanya serta habuan-habuan yang bakal di perolehi dari perbincangan tersebut.



Namun PAS perlulah memikirkan idea untuk mengujudkan kerajaan perpaduan tersebut dengan lebih teliti. Apakah menafaat yang bakal di terima oleh PAS jika kerajaan perpaduan itu menjadi kenyataan? Apakah PAS hanya berpuas hati jika Ustaz Hadi di lantik sebagai Timb Perdana Menteri Kedua? Apakah kesannya pula terhadap masyarakat Malaysia sekiranya parti pemerintah dikuasai oleh orang-orang Melayu dan parti pembangkang dikuasai oleh orang-orang bukan Melayu? Apakah kesannya terhadap kepercayaan yang mula hendak dibina diantara kaum di negara ini? Apakah semua ini akan membawa kepada kebaikan ummah Malaysia keseluruhannya atau membawa kepada kehancuran kepada sistem yang telah dibina sekian lama? Apakah Pas benar-benar yakin kerajaan perpaduan tersebut boleh merapatkan saf antara orang-orang Melayu? Tidak kah Pas menyedari bahawa saf orang-orang UMNO sendiri tidak dapat di rapatkan oleh UMNO?



Sebagai contoh, cubalah kita lihat, apabila TDM melepaskan jawatan, kemanakah perginya orang-orang kanan TDM? Selepas DS Najib mengambilalih, kemana pula perginya orang-orang kuat Pak Lah? KJ meskipun memenangi pemilihan Ketua Pemuda UMNO telah tidak diberikan apa-apa jawatan di dalam kabinet sedangkan Mukhriz, anak TDM yang kalah di beri tempat! Apakah maknanya semua ini? Mengapa Zulhasnan yang menang didalam pemilihan Majlis Tertinggi di gugurkan dari kabinet? Dan siapa pula Raja Nong Chik? Bagaimana pula dengan Mohamad Hasan yang tewas dan tidak dilantik menganggotai MT sedangkan kesemua MB lain yang tewas di lantik? Apakah pentingnya Abd Aziz Shiekh Fazdil dari Mohamad Hasan sehinggakan beliau di beri tempat?



Yang nyatanya UMNO perlu mengujudkan perpaduan dikalangan mereka dahulu. Jika rumah mereka sudah dibaiki, barang-barang antik lama saperti hasad dengki sudah di humbankan, baru lah mereka boleh bercerita tentang perpaduan ummah. Dengan itu PAS janganlah terlalu ghairah untuk memasuki perangkap sendiri. PAS harus sedar, kemenangan besar yang di perolehi oleh mereka dalam pilihanraya yang lepas sebenarnya bukanlah kerana rakyat telah memberikan sokongan padu kepada perjuangan PAS. Kemenangan itu sebenarnya adalah berdasarkan kepada undi protes; orang-orang UMNO yang tidak berpuas hati kerana calun-calun mereka tidak disenaraikan. Itu saja. Sebagai contoh, cuba kita lihat keputusan piliharaya di Parlimen Rembau. KJ hanya berjaya memenangi kerusi tersebut dengan hanya 6000 majoriti undi sedangkan kawasan Parlimen Rembau adalah kawasan kuat UMNO. Sesiapa saja yang diletakkan di kerusi tersebut akan senang-senang mendapat majoriti melebihi 15,000. Itu yang berlaku pada pilihanraya ke-11. Sekiranyanya UMNO tidak percaya cubalah letakkan calun lain di Perlimen Rembau selain KJ pada PRU ke-13! Dan PAS mesti faham ini.



Semasa UMNO memerintah sekian lama, semasa UMNO/BN kuat, mengapa persoalan tentang perpaduan ummah tidak pernah terlintas di pemikiran pemimpin-pemimpin mereka? Mengapa setelah UMNO/BN gagal untuk meraih undi orang-orang bukan Melayu dan PAS pula di lihat berjaya memikat hati orang-orang bukan Melayu, baru UMNO hendak menghulurkan tangan mereka?



Apakah keadaan sekarang yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan benar-benar sebegitu teruk? Saya rasa tidak. Di zaman ini kita tidak pernah terdengar isu sembahyang dua imam saperti dahulu. Tidak ada isu pulau memulaukan majlis perkahwinan misalnya. Tidak ada isu siapa yang boleh masuk syorga atau siapa yang tidak. Tetapi nampaknya TS Muhyiddin pula yang telah memulakan isu tersebut.


PAS juga mestilah faham. Politics is about power. It is an art of possible.

Friday, June 12, 2009

Mohamad Hasan Dengan Agenda Peribadinya

Di dalam Utusan Malaysia hari ini saya terbaca komen yang di buat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan selepas beliau meresmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Cawangan Rantau yang diadakan semalam. Menurut Mohamad Hasan terdapat dari kalangan bekas-bekas pegawai tentera yang berpangkat tinggi yang dahulunya menyokong Kerajaan dan memperjuangkan kedaulatan negara tetapi setelah bersara mereka menjadi penentang kepada dasar Kerajaan. Menurut Mohamad Hasan lagi, mereka ini sebenarnya bukanlah menyokong sangat perjuangan parti pembangkang tetapi sebenarnya mereka ini mempunyai agenda peribadi.



Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Mohamad Hasan menuduh orang lain mempunyai agenda peribadi. Malah tuduhan itu telah berkali-kali keluar dari mulutnya. Mohamad Hasan mahu rakyat terutamanya orang-orang Melayu/UMNO percaya bahawa beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan jawatan tinggi yang bergaji besar didalam dunia korporat dan terjun ke dunia politik untuk menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan adalah atas dasar semangat juang yang waja yang ada dalam dirinya dan bukan nya agenda peribadi. Namun apakah dengan menggunakan pendekatan sedemikian Mohamad Hasan akan berjaya untuk menyakinkan rakyat? Saya rasa tidak.



Umum mengetahui sekiranya kita bergaji setinggi mana pun, atau berpangkat setinggi mana pun, di dalam dunia korporat, kita tetap merupakan 'kuli' kepada pelanggan. Misalnya kita menjadi Pengarah Urusan di dalam syarikat yang menjual kereta Mercedes, meskipun gaji kita mencecah seratus ribu sebulan, semua itu tidak di pedulikan oleh pelanggan kita. Sekiranya kereta yang mereka beli dari kita membuat ragam didalam bulan pertama, jawabnya kita tidak akan lekang dari menerima tengkingan pelanggan kerana kereta yang kita jual bukan murah harganya dan dengan itu pelanggan kita juga bukanlah terdiri dari kalangan calang-calang orang. Walaupun gaji kita tinggi, jawatan kita juga tinggi, dalam keadaan sedemikian, kadang-kadang hendak makan pun tidak lalu. Pelanggan langsung tidak menghormati pangkat kita dan jauh sekali gaji kita. Meskipun kita bergelar Dato', pelanggan kita tetap memanggil kita sebagai 'Mat', sekiranya nama kita Mohamad kerana pada hakikatnya kita hanyalah merupakan seorang 'salesman' dan tidak lebih dari itu. Dengan itu kita terpaksalah telan dan tidur dengan kerenah pelanggan. After all customers are always right.



Apakah maruah diri dan tekanan perasaan sedemikian rupa juga di hadapi oleh seorang Menteri Besar? Saya rasa umum pun mengetahui jawapannya. Dengan itu sekiranya kita diterjunkan untuk menjadi Menteri Besar, saya rasa kita tidak akan berfikir dua kali meskipun gaji Menteri Besar tidak semeriah mana kerana umum juga mengetahui lazimnya kuasa Menteri Besar akan di compliment dengan berbagai-bagai kemudahan lain yang tidak pernah terlintas di dalam pemikiran orang-orang korporat. Jadi apakah benar Mohamad Hasan tidak mempunyai agenda peribadi?



Malah tuduhan Mohamad Hasan kepada bekas-bekas pegawai tentera yang tidak menyokong dasar-dasar Kerajaan juga mengambarkan kecetekan daya pemikiran beliau. Pertama, Mohamad Hasan tidak dapat membezakan apa sebenarnya yang di katakan 'Kerajaan'. Bagi beliau 'Kerajaan' itu adalah UMNO/BN. Jadi bagaimana dengan 'Kerajaan' yang ada di Pulau Piinang, Kedah, Selangor dan Kelantan? Kedua, Mohamad Hasan mesti faham bahawa didalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, institusi ketenteraan adalah merupakan sebuah institusi yang 'apolitical'. Dengan itu institusi ketenteraan haruslah taat kepada 'Kerajaan pada hari itu', tidak kira sama ada Kerajaan itu di tubuhkan oleh UMNO/BN, atau mana-mana parti pun dan dengan itu ia bermakna bahawa ketaatan yang ditunjukkan oleh institusi ketenteraan kepada 'Kerajaan pada hari itu' bukanlah merupakan ketaatan yang mutlak kepada sesebuah parti. Sekiranya parti yang memerintah itu tewas di dalam pilihanraya, parti itu tidak boleh terus menerus menuntut ketaatan dari institusi ketenteraan. Ketiga, semasa di dalam perkhidmatan tentera, mereka tidak memerlukan 'gerai', mereka juga tidak memerlukan 'permit taxi', tidak memerlukan lesen kawalan keselamatan, tidak perlu memohon tanah, pasir atau balak. Tetapi setelah bersara, mereka perlukan semua itu untuk menyambung kehidupan. Namun kebanyakan permohonan mereka tidak mendapat perhatian yang setimpal sedangkan rakan-rakan mereka (yang sama-sama gagal SPM dahulu) yang tinggal di kampung dan masuk UMNO dengan mudah sahaja di anugerahkan dengan tanah, pasir, batu dan berbagai lagi hasil bumi yang ada. Dan tanah yang dianugerah itu bukanlah sekadar seekar dua tetapi menjangkau 100 ke 150 ekar dan di jual pula pada keesokan hari nya dengan harga yang mencecah jutaan ringgit.



Dengan senario yang sedemikian, apakah pilihan yang ada kepada mereka? Apakah salah sekiranya mereka menaruh harapan kepada pihak yang lain? Apakah salah sekiranya bekas-bekas pegawai mereka ingin memperjuangkan nasib mereka? Apakah kita sudah lupa bahawa DS Najib sendiri (Menteri Pertahanan pada ketika itu) hampir tewas apabila di cabar oleh seorang bekas Jeneral di kawasannya sendiri? Apakah semua ini tidak memberi apa-apa makna kepada Mohamad Hasan?



Namun ada juga di antara mereka yang menyertai UMNO tetapi hanya setakat menjadi 'macai', memasang khemah dan menampal poster apabila tiba musim pilihanraya. Bekas-bekas pegawai yang berkebolehan tidak mempunyai tempat di dalam UMNO, dan dengan itu penyertaan mereka mesti di sekat.



Sebenarnya daya pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO saperti Mohamad Hasan amat berbeza jika dibandingkan dengan keadaan di Singapura atau di Amerika Syarikat. Di negara-negara tersebut, perkhidmatan dan pengalaman ketenteraan amat di hormati dan di sanjung tinggi sebab itu bekas-bekas pegawai tinggi tentera di negara-negara tersebut diangkat untuk menyertai Kabinet. Keadaan itu tidak pernah berlaku di negara ini. (Baru-baru ini seorang bekas Jeneral di lantik menjadi Menteri tetapi beliau di lantik bukanlah disebabkan beliau adalah seorang bekas Jeneral tetapi oleh kerana beliau adalah merupakan seorang Ulama dan Ustaz dan mungkin disebabkan tiada sesiapa di dalam UMNO yang mempunyai kelayakan untuk mengisi jawatan tersebut).



Dalam keadaan sedemikian saya rasa adalah tidak adil bagi Mohamad Hasan menuduh mereka sebagai mempunyai agenda peribadi. Mohamad Hasan perlu membuka mindanya dan berfikiran saperti orang yang terpelajar di dalam konteks demokrasi dan bukannya membuat komen saperti orang yang tidak bersekolah kerana komen-komen sedemikian akan akhirnya memakan diri sendiri dan UMNO/BN yang bakal menerima padahnya.

Sunday, March 22, 2009

Pertandingan Timb Presiden UMNO: Mat Taib Pasti Menang Selesa

Dengan penyingkiran Ali Rustam nampaknya peluang Mat Taib untuk menjadi Timb Presiden UMNO dan sekali gus menduduki kerusi Timb PM semakin cerah. Sebelum daripada ini, ramai pemerhati politik yang menyangkakan Muhyiddin Yassin akan menang mudah dalam pertandingan tiga penjuru itu kerana penyokong Ali Rustam dan penyokong Mat Taib di katakan datang dari sumber yang sama, iaitu penyokong-penyokong Pak Lah yang marah pada Muhyiddin kerana mendesak boss mereka untuk meletakkan jawatan.

Namun yang sebenarnya jika berlaku pertandingan tiga penjuru pun Muhyiddin sudah tentu akan kecundang juga kerana Muhyiddin tidak semestinya mendapat sokongan dari orang-orang Najib. Pertama, Muhyiddin adalah jauh lebih tua dan dilihat lebih bersih dari Najib dan keadaan ini sudah tentu tidak akan mententeramkan jiwa Najib, tambahan pula sikap berani yang telah di pamerkan oleh Muhyiddin sehingga menyebabkan Pak Lah terpaksa berundur mungkin akan menjadi igauan kepada Najib juga. Kedua, yang pentingnya Najib hanya perlukan seorang timbalan untuk mengisi kerusi Timbalan Presiden untuk satu penggal sahaja kerana di penggal akan datang, Najib pastinya ingin membawa Hishamuddin Hussein. Hishamudin sebagai sepupu kepada Najib sudah tentu tidak akan membuat ragam dan dengan itu Najib bolehlah menumpukan sepenuh jiwa dan raganya terhadap tugas Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia dengan aman tanpa di ganggu gugat oleh kekuatan timbalannya atau memerlukan timbalannya membuat pengakuan pada saban tahun saperti yang pernah di lakukan oleh Mahathir dahulu.

Dalam scenario yang sedemikian, adalah amat wajar jika Najib memberikan sokongan kepada calun-calun lain selain dari Muhyidin kerana tindakan sedemikian akan dapat menyelamatkan UMNO Johore, satu-satunya negeri di mana UMNO masih diterima oleh kesemua orang-orang Melayu. Dalam ertikata lain, seandai nya Muhyiddin menduduki kerusi Timbalan Presiden UMNO bagi penggal ini, di penggal akan datang UMNO Johore pasti akan bergolak apabila berlakunya pertarungan diantara Hishamuddin dengan Muhyiddin dan keadaan itu haruslah di elakkan at all cost.

Sunguhpun akhbar The Star (terbitan hari ini) nampaknya memberikan sokongan kepada Muhyiddin dan Mat Taib pula berhempas pulas mengatakan bahawa beliau fasih berbahasa Inggeris (meskipun beliau sendiri yang mengaku tidak faham bahasa Inggeris semasa di tangkap di Australia dahulu), namun hakikatnya realpolitik tidak akan berubah dan Mat Taib pasti akan dinobatkan sebagai Timbalan Presiden UMNO minggu depan.

Yang pastinya Malaysia berharap semoga DS Najib dapat menjaga kesihatannya untuk tiga tahun akan datang.

Saturday, December 6, 2008

UMNO Tidak Perlu MCA Dan Gerakan Lagi

Semenjak BN kalah teruk di pilehanraya yang lepas, nampaknya MCA dan Gerakan tidak segan silu dan tidak habis-habis untuk menyalahkan UMNO. Semua dasar BN yang mana mereka turut menyokong dahulu diungkit semula. Konsep ketuanan Melayu yang telah lama diamalkan dinegara ini dipertikaikan. Melayu juga dikatakan kaum pendatang saperti mereka. Mukhriz disarankan oleh mereka untuk ditahan dibawah ISA kerana mencadangkan satu sistem persekolahan. Yang anehnya, mereka juga menyarankan agar ISA dimansuhkan tetapi pada masa yang sama rupanya mereka pun masih sayang kepada ISA. Agaknya apabila sudah kalah, fikiran pun menjadi celaru. Semua orang tidak betul. Mereka saja yang betul. Sebab itu lah agaknya kita sering terdengar ada yang bunuh diri, terjun tingkap dan sebagainya bila mereka kalah judi.

Demi untuk mempertahankan konsep BN dan konsep perkongsian kuasa terpaksa lah UMNO mengalah sentiasa. Dan ada diantara Ketua Bahagian UMNO yang terpaksa dilucutkan jawatan nya demi untuk menjaga hati kaum MCA dan kaum Gerakan.

Sebenarnya jika diteliti keputusan pilehanraya yang lepas dengan secara terperinci, UMNO/BN tidak memerlukan MCA atau Gerakan lagi. Kedua-dua parti tersebut tidak lagi mendapat sokongan dari kaum mereka. Dan ini lah yang membolehkan beberapa orang dari kaum India menang jawatan tertinggi didalam pemilihan parti Gerakan tempuhari.

Dengan yang demikian UMNO/BN perlu membuat pendirian dan tidak perlu menghabiskan masa untuk memujuk atau mengambil hati MCA dan Gerakan lagi. Sebaliknya, UMNO/BN perlu memberikan tumpuan kepada kaum Melayu dan kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak sahaja. Jika ini dapat dilakukan, nescaya UMNO/BN akan terus memerintah negara ini tanpa boleh diganggu gugat oleh mana-mana kaum lain.

Malah kekuatan politik Melayu mungkin akan menjadi lebih unggul jika PAS dibawa masuk kedalam BN. Jika PAS boleh duduk makan semeja dengan DAP yang menggunakan chopstick dan terang-terang memusuhi konsep Negara Islam yang diidamkan oleh PAS , saya percaya PAS boleh duduk bersila untuk makan bersama UMNO. Untuk menebus kesalahan UMNO yang lepas terhadap PAS dan demi untuk menyakinkan PAS, UMNO mestilah membenarkan PAS untuk menubuhkan kerajaan di Selangor dan Perak.

Didalam politik, semuanya boleh menjadi kemungkinan. Dengan itu jangan lah hendaknya ada dikalangan pemimpin UMNO atau PAS yang berfikiran sempit dan terus mengamalkan politik sempit.

Tuesday, November 25, 2008

Gambar Pun Boleh Bercakap

Di hujung minggu yang lepas saya berada di Kota Baru kerana menghadiri Persidangan Tahunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia yang telah diresmikan oleh Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Selepas selesai persidangan tersebut saya dan seorang lagi rakan telah mengambil peluang untuk bersiar-siar di pekan Kota Baru. Apa yang anehnya, tidak satu pun saya ternampak gambar Menteri Besar Kelantan yang di paparkan dimana-mana.

Keadaan ini agak berbeza jika dibandingkan dengan negeri saya dimana gambar Menteri Besarnya terpampang dimerata-rata tempat dan disepanjang tahun. Bermula dengan ucapan Selamat Tahun Baru, diikuti dengan ucapan Selamat Tahun Baru Cina, ucapan Selamat Hari Raya, ucapan Selamat Hari Deepavali dan diakhiri dengan ucapan Selamat Hari Krismas. Dalam pada itu gambar Menteri Besar juga dipaparkan apabila mengucapkan Selamat Datang kepada menteri-menteri pusat saperti kedatangan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta menteri-menteri kabinet. Pendek kata, gambar Menteri Besar sentiasa terpampang diserata tempat dan jika masih ada rakyat Negeri Sembilan atau pelancong asing yang tidak kenal paras rupa Menteri Besar itu, mereka memanglah terdiri dari gulungan orang-orang yang jahil.

Sebenarnya pemasangan banner-banner tersebut bukan saja merupakan satu keuntungan kepada industri-industri kecil yang mungkin boleh menjana pendapatan melebihi RM 1 juta setahun tetapi ia adalah satu strategi pemerintahan yang menjaminkan pulangan yang tidak ternilai oleh wang ringgit. Malah strategi ini telah lama digunakan secara meluas dinegeri-negeri Islam di Timur Tengah saperti di Iraq, Jordan dan Syria.

Di Syria, semasa zaman pemerintahan Presiden Assad, gambar presiden mereka boleh dikatakan terdapat di serata tempat bermula dari pintu masuk sehinggalah keseluruh ceruk kampung. Tidak ada se inci pun tanah dimana rakyat Syria boleh terlepas dari pandangan Presiden Assad sehinggakan rakyat Syria percaya bahawa gambar Presiden Assad boleh mendengar apa yang mereka perbualkan. Malah kepercayaan mereka itu semakin menebal apabila ada dikalangan mereka yang mengutuk atau menghina Presiden mereka akan terus ditangkap keesokannya oleh pihak berkuasa dan kadangkala termasuk seluruh ahli keluarga mereka.

Sungguh pun sebenarnya Presiden Assad memperkasakan dirinya dengan cara menubuhkan sebuah badan Perkhidmatan Rahsia yang dianggotai oleh 7 juta orang, iaitu setengah dari keseluruhan rakyat Syria, yang bermakna tiap-tiap seorang rakyat Syria akan diawasi oleh seorang anggota perkhidmatan rahsia, rakyat Syria masih mahu mempercayai bahawa sebenarnya gambar-gambar presiden mereka itu boleh mendengar dan bukannya Presiden mereka mendapatkan maklumat dari anggota-anggota perkhidmatan rahsia. Akibat dari kepercayaan mereka itu, kita boleh melihat sendiri bagaimana cara ketika rakyat Syria berjalan kaki. Mereka akan tunduk ketika berjalan dan tidak berani menatap wajah Presiden mereka kerana takut disalah ertikan oleh Presiden Assad yang boleh membawa bencana bukan saja kepada mereka malah kepada kaum keluarga mereka.

Keadaan ini lah yang berlaku semasa Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Rembau yang berlangsung pada 9hb November tempuhari. Semua perwakilan yang diberikan Senarai Biru telah menggunakan senarai itu didalam memilih AJK Bahagian dan pemilihan G7. Dan adalah tidak menghairankan bahawa semua nama-nama yang terdapat didalam Senarai Biru itu telah memenangi pemilihan tersebut.

Saya percaya jika strategi ini terlepas kepada Tuan Guru Nik Aziz, Kerajaan PAS sudah tentu akan terus memerintah Kelantan.

Wednesday, October 22, 2008

Mukhriz Tidak Relevan Selepas Zaman Pak Lah

Dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Mukhriz nampaknya telah jauh meninggalkan Khairy. Keadaan saperti ini sudah tetunya tidak akan berlaku sekiranya Pak Lah tidak mengumumkan pengundurannya.

Ini lah budaya sebenar didalam UMNO. Budaya haprak yang telah diwarisi sekian lama. Apabila seseorang itu mempunyai jawatan dan kedudukan, semua datang mencium tangan. Tapi bila jawatan dan kedudukan itu hilang, usahkan mencium tangan, bersalam pun mereka tidak mahu. Kalau lalu pun mereka buat-buat tak perasan. Hendak bergambar jauh sekali. Takut gambar mereka disiarkan dan jika itu berlaku saham mereka akan jatuh merudum. Keadaan ini terjadi kepada Tun Dr. Mahathir dan kini giliran Khairy pula.

Malah rakan karib dan running-mate Khairy pun nampaknya bermain kayu tiga. Kalau Khairy baru mendapat 37 pencalunan, bagaimana Reezal Merican Naina Merican boleh mendapat 52 pencalunan? Jelas ada yang tidak kena. Ini termasuklah apa yang sedang berlaku di Negeri Sembilan apabila Khairy digagalkan.

Kepopularitian Mukhriz sememangnya sudah dijangka ramai. Mukhriz lah yang mula-mula membuka mulut meminta Pak Lah melepaskan jawatan PM apabila BN kalah teruk semasa pilihanraya yang lepas. Tindakan berani Mukhriz itu sememangnya dikagumi oleh anak-anak muda yang inginkan perubahan terutama sekali mereka-mereka yang tidak mengundi UMNO semasa pilihanraya yang lepas.

Tetapi apakah Mukhriz masih relevan sesudah senario politik UMNO berubah? Apakah Mukhriz berani menegur kepimpinan UMNO dibawah DS Najib? Sekarang ini begitu banyak isu-isu sensitif yang dikaitkan dengan DS Najib saperti isu pembelian Eurocopter, isu Altantuya, dan lain-lain lagi. Mengapa suara Mukhriz tidak kedengaran? Apakah Mukhriz bersetuju atau tidak bersetuju dengan tuduhan yang dilemparkan kepada DS Najib itu? Jika beliau bersetuju, mengapa mendiamkan diri? Beliau harus membuktikan keberaniannya dengan membuat satu pendirian atau mengambil sesuatu tindakan agar segala kemungkaran yang berlaku itu akan dapat diperbetulkan atau diubah. Jika beliau tidak bersetuju, mengapa pula beliau harus mendiamkan diri dan membiarkan DS Najib membela diri bersendirian. Apakah Mukhriz boleh membawa perubahan dengan sikap berkecuali?

Apabila Tan Lian Hoe mempersendakan asal usul orang Melayu, dimana Mukhriz? Apakah Mukhriz juga bersetuju bahawa asal usul orang Melayu datangnya dari India? Apabila bekas Ketua Pemuda MCA menyarankan agar jawatan Timbalan Presiden Kedua bagi Barisan Nasional diujudkan untuk MCA, mengapa Mukhriz tidak bersuara? Apakah Muhriz juga bersetuju dengan saranan itu?

Atau apakah agaknnya Mukhriz sedang sibuk mengira undi?

Atau apakah Mukhriz tidak lagi relevan selepas ketiadaan Pak Lah? Pemuda UMNO harus menghalusi persoalan sebegini agar mereka tidak terbawa-bawa dengan keberanian Mukhriz dizaman Pak Lah.

Yang jelasnya, lanskap politik UMNO kini sudah berubah dan jika tidak ada aral melintang, DS Najib akan mengambilalih kepimpinan UMNO pada bulan Mac tahun hadapan. Untuk menentukan keberkesannya, Pemuda UMNO harus lah kembali kepada peranan asal mereka sebagai Kumpulan Pendesak yang berani memperjuangkan hak dan kepentingan orang-orang Melayu keseluruhannya. Dengan itu Pemuda UMNO harus meniliti semula siapakah diantara Mukhriz dan Khairy yang agaknya berani bersuara dibawah kepimpinan DS Najib.

Atau dengan lebih tepat lagi, siapakah diantara mereka yang lebih berilmu dan berani pula memainkan peranan sebagai 'budak jahat' didalam UMNO.

Sama-samalah kita renungkan dan buat pilihan yang tepat.

Thursday, October 16, 2008

Perlembagaan UMNO Perlu Di Pinda Jika Hendak Terus Relevan

UMNO perlu meminda Perlembagaannya jika UMNO hendak terus relevan dan dilihat sebagai sebuah parti yang boleh menterjemahkan sokongan dan kehendak rakyat dan bukan hanya merupakan sebuah parti yang memperjuangkan nasib orang-orang UMNO sahaja.

Pertama sekali, sistem kuota didalam pemilihan UMNO mesti dihapuskan. Saya rasa perkara ini tidak perlu dihuraikan kerana sudah ramai yang berbuih mulut mempersoalkan perkara ini. Andainya sistem kuota ini tidak juga dihapuskan semasa Perhimpunan Agung akan datang yang dijangkakan pada bulan Mac 2009, saya tidak tahu lah apa lagi yang harus kita buat.

Keduanya, UMNO perlu menghormati dan matuhi Perlembagaannya sendiri. Oleh kerana Perlembagaan UMNO telah menetapkan agar satu pemilihan diadakan bagi setiap 3 tahun, pemilihan itu mestilah dijalankan pada masa yang ditetapkan itu dan hendaknya jangan lah ia ditangguh atas alasan memberi laluan kepada Pilihanraya Umum saperti yang dilakukan pada tahun 2003 dan 2007. Alasan yang diberikan bahawa pemilihan UMNO terpaksa ditangguhkan kerana tidak mahu melihat pemimpin-pemimpin UMNO yang kalah didalam pemilihan yang lazimnya akan merajuk, lantas tidak akan memberikan sokongan padu kepada calun UMNO semasa Pilihanraya Umum kelak tidak boleh diterima sama sekali dan tidak masuk akal. Jika kita menerima alasan ini, ia bermakna kita mengakui bahawa orang-orang Melayu masih tidak faham akan makna dan semangat sistem demokrasi yang kita amalkan selama ini. Apakah ini yang hendak kita pertontonkan kepada dunia dan semua lapisan rakyat Malaysia?

Sebenarnya, pemilihan didalam UMNO adalah lebih sempurna jika ia diadakan sebelum sesuatu Pilihanraya Umum diadakan. Pemilihan itu akan memberi mandat baru kepada pemimpin-pemimpin UMNO disemua peringkat. Akar umbi akan dapat memilih calun-calun yang mereka hendak ketengahkan semasa Pilihanraya Umum kelak dan menolak mana-mana pemimpin yang dilihat sudah lapuk. Jika pemilihan yang dijadualkan oleh Perlembagaan itu ditangguhkan, lazimnya semua calun-calun yang bakal bertanding didalam Pilihanraya Umum adalah calun-calun yang ditentukan dari atas dan suara akar umbi langsong tidak diambil kira. Akar umbi didalam parti mungkin boleh menerima jika ia dilakukan buat pertama kalinya saperti dalam tahun 2004 tetapi jika ia terus dilakukan nescaya ia akan membawa padah. Dan ini lah yang berlaku semasa Pilihanraya Umum 2008. Di Rembau, misalnya, Khairy, menantu Pak Lah, hampir tewas sungguh pun Rembau selama ini dianggap sebagai satu kawasan yang paling selamat bagi UMNO.

Yang jelasnya, sekiranya pemilihan UMNO hanya diadakan selepas Pilihanraya Umum, pemilihan itu sebenarnya tiada memberi sebarang makna. Ia hanya lah merupakan satu 'academic exercise' sahaja. Mereka-mereka yang sudah bergelar YB, yang diterjunkan dari atas, lazimnya akan menang dengan mudah sebab mereka sudah mempunyai 'gula'gula'.

Oleh kerana saya orang Rembau, saya suka mengambil Rembau sebagai contoh. Di Rembau, misalnya, apabila Bahagian itu diujudkan pada tahun 2003, Pak Lah telah meletakkan Mohamad Hassan sebagai Ketua Penaja bahagian itu. Selepas Pilihanraya Umum 2004, Pak Lah pun melantik Mohamad Hassan, yang masih selaku Ketua Penaja UMNO Bahagian Rembau, sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. Kemudian dari itu baru lah pemilihan UMNO diadakan. Dalam keadaan sebegitu, sudah tentu lah orang-orang Rembau tiada mempunyai pilihan dan TERPAKSA menerima kehadiran Mohamad Hassan sebagai Ketua Bahagian mereka meskipun mereka tidak kenal siapa itu Mohamad Hassan. Ia adalah satu 'fait accompli' yang dipaksakan dari atas dan kesannya sudah tentu lah tidak membawa kebaikan kepada perpaduan didalam parti yang mana akhirnya, Negeri Sembilan hampir tumpas kepada pembangkang dalam Pilihanraya Umum yang lepas.

Akhir sekali saya juga ingin mencadangkan agar UMNO melihat semula jumlah perwakilan bahagian (atau lazimnya dipanggil G7) yang di pilih untuk hadir di Perhimpunan Agung. Satu sistem 'demerit' perlu diujudkan. Jumlah perwakilan dari bahagian-bahagian mestilah mencerminkan keupayaan sebenar UMNO dibahagian masing-masing. Mana-mana Bahagian UMNO yang menguasai kawasan Parlimen dan DUN mereka, mereka mestilah diberikan jumlah perwakilan yang lebih dari bahagian-bahagian dimana UMNO tidak mempunyai tempat. Bahagian Kuala Pilah, misalnya, dimana kesemua kerusi DUN dan Parlimen ditandingi dan dimenangi oleh calun-calun dari UMNO, bahagian itu mestilah diberikan jumlah perwakilan yang lebih besar jika dibandingkan dengan jumlah perwakilan dari Bahagian Bukit Bintang, yang mana kita semua tahu sehingga hari kiamat pun UMNO Bahagian Buit Bintang tidak akan dapat meletakkan calun mereka di kawasan itu. Begitu juga dengan bahagian-bahagian dimana UMNO mempunyai tempat dan bertanding tetapi kalah ditangan pembangkang. Jumlah perwakilan mereka mestilah dikurangkan jika dibandingkan dengan Bahagian Kuala Pilah yang menang kesemuanya. Sekiranya ini dapat dilakukan, UMNO akan sentiasa mempunyai barisan kepimpinan dari kalangan mereka-mereka yang datangnya dari negeri-negeri dimana UMNO masih diterima oleh rakyat dan bukannya dari mereka-mereka yang hanya pandai 'berkokok' tetapi kampungnya telah tergadai.